Van Linschotten (sarjana Belanda yang banyak menulis hal ehwal Kepulauan
Melayu, pada abad ke-18); Bahasa Melayu pada masa itu, bukan sahaja
amat harum namanya juga dianggap bahasa yang paling dihormati antara
bahasa-bahasa timur, dan bahawa orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu
di Kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu
akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.
Rabu, 5 November 2008
Sejarah Perkembangan dan Asal Usul Bahasa Melayu
1.
Untuk mengetahui asal usul Bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal
usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal usul
bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah
seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria)
telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan
pergerakan masyarakat Melayu kuno.
2. Teori mereka menyatakan
bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu
kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang
kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia
dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.
3. Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi
4.
Kira-kira tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua
yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang
subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka
ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun,
Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain
berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman. Golongan Melayu-Deutro ini
dikatakan nenek moyang masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.
5.
Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala
bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris.
Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, terdapat rumpun bahasa
Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina.
6. Ahli bahasa telah membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
a. Bahasa Melayu Kuno,
b. Bahasa Melayu Klasik dan
c. Bahasa Melayu Moden.
Bahasa Melayu Kuno
1.
Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara di bawah
golongan bahasa Sumatera. Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7
hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya. pada waktu itu, BM kuno
telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana sifat bahasa
Melayu yang bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa
Melayu juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan
mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
2.
Oleh sebab agama Hindu menjadi pegangan orang Melayu ketika itu, bahasa
Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit yang menyumbang
kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa
Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap sebagai bahasa sarjana dan digunakan
oleh bangsawan. Bahasa Melayu juga mudah dilentur mengikut keadaan dan
keperluan.
3. Bukti penggunaan Bahasa Melayu kuno boleh dilihat pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palawa iaitu:
a. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
b. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
c. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
d. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
4.
Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas
arahan raja Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi
Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka.
Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai
bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus
meluaskan penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun
bahasa pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi
masih terdapat pengaruh Bahasa Melayu Kuno di dalamnya.
5.
Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun
644 dan 645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang
mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil
bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat
dipastikan tetapi ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan
di Jambi, Sumatera.
6. Selain bukti penggunaan bahasa Melayu kuno
di atas,batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam
huruf Nagiri.
7. Bahasa Melayu kuno mempunyai beberapa ciri iaitu;
a. Terdapat unsur-unsur pinjaman daripada bahasa Sanskrit.
b. Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
c. Tidak wujud bunyi e pepet (Contoh dengan - dngan atau dangan)
d. Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
e. Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
f. Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
g. Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)
Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
1.
Pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad
ke-13 turut memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu. Kedatangan
Islam ke Tanah Melayu telah banyak mengubah sistem bahasa Melayu
terutama dari aspek kosa kata, struktur ayat dan sistem tulisan.
2. Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)- ditulis dalam huruf India dan
mengandungi
prosa Melayu kuno dan beberapa baris sajak Sanskrit. Bahasanya berbeza
sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di
Minye Tujuh, Acheh (1380)- masih memakai abjad India dan buat pertama
kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah
dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)-
ditulis dalam tulisan Jawi dan membuktikan tulisan Arab telah telah
digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
3. Ketiga-tiga batu
bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu
kuno kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam
bentuk tulisan.
Bahasa Melayu Klasik
1. Abad ke –13
merupakan waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu dengan
berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa
dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India
sedikit demi sedikit mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab.
Kegemilangannya bahasa Melayu klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman
penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman
kerajaan Johor-Riau
2. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah
pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah
menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat
meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini.
Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan
serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah
menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa
Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi.
Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk
mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan
Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun
Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi
nilainya.
3. Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan
Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak
menamatkan pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang
menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan
kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :
a.
Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya
bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di
Pulau Tidore pada tahun 1521. Kamus ini merupakan daftar kata daripada
bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih
400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua.
Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa
Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar.
b. Jan
Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di
Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai
kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa
Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara
bahasa-bahasa negeri timur.
c. Pada awal abad ke-18, Francios
Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak
menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan
kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut :
“Bahasa mereka, Bahasa
Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga
digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur,
sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap
orang.”
4. Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu
dan luas penggunaanya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara
pentadbir dan raja-rja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :
a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
(Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London)
5.
Dalam abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah
untuk menyusun kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada
bidang morfologi, sintaksis dan fonologi.
6. Tokoh-tokoh
tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha
mereka berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh telah
menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan Melayu. Tokoh-tokoh di
Acheh antaranya ialah :
a. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
b. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
c. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
d. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)
7. Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”.
8.
Selain daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di
tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh
(Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di
Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil
Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula
menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.
Ciri-ciri bahasa Melayu klasik:
1. Ayatnya panjang, berulang, berbelit-belit dan banyak menggunakan struktur ayat pasif.
2. Menggunakan bahasa istana: contoh tuanku, baginda, bersiram, mangkat dsb.
3. Kosa kata arkaik dan jarang digunakan ; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
4. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
5. Banyak menggunakan ayat songsang: pendepanan predikat
6. Banyak menggunakan partikel ``pun' dan `lah'
Perkembangan Bahasa Melayu Moden
1.
Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan
Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden
kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa
Melayu klasik. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai
kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan,
pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan
Islam.
2. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar
menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan.
3. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan yang menyebut bahawa, "Bahasa Kebangsaan negara ini adalah
Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana
yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”.
4. Akta Bahasa
Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi
negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan
persekutuan, negeri, tempatan dan badan berkanun).
5. Laporan Razak
1956 mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan negara dan menjadi alat utama perpaduan antara
kaum.
Anda mungkin juga meminati:
Konsep Melayu dan Hipotesis Asal Usul Bahasa Melayu
Dari Wikipedia Bahasa Melayu Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu_Kuno"
PIPP dan Pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah
Tidak ada komentar:
Posting Komentar